SOLAT              mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau              di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira              mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti              berjumpa dengan tukang ramal.
Pensyarah fakulti              Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),              Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan              ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca              ramalan bintang.
Katanya, walau              seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap              tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan              pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran              Muhammad. 
Bagaimanapun              katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan              mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib              kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang              lain.
"Jelas amalan              meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan              bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara              main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum              Islam," katanya.
Katanya, perkara itu              juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW              bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian              dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat              orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."            
Perbahasan mengenai              minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca              horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah              Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9              yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.              
Program              yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton              menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan              tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong              itu.
Nik Salida berkata,              tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan              bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka              itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh              dengan apa yang dibaca.
Katanya, ada kalangan              masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat              pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan              mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari,              minggu atau bulan.
Sedangkan, perbuatan              itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka              tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi              kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari              itu.
"Jika tidak percaya              atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya              bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari              itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita              hendak tahu ramalan.
"Jika katanya dalam              bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka              akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit              saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek              psikologi.
"Daripada suka-suka              itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia              mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh              ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini,"              katanya.
Badli Shah berkata,              golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik              mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang              tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.            
Beliau berkata, Allah              sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana              Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta              penipu kerana mendahului takdir Allah.            
Katanya, apa yang              dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa              setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini              memberi kesan daripada sudut akidah mereka.            
"Jika Allah tidak              izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal              pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa              izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden              ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak,"              katanya.
Katanya, kepercayaan              kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh              mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara              suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat              karib.
Contohnya, isteri              yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan              berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling              malang              lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.            
Rasulullah SAW turut              berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan              dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu              terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang              hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di              langit.
Malah, Baginda SAW              pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa              depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara              ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari              musibah.
Mengulas mengenai              sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari              Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris              dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.            
Ilmu itu berkembang              sejak Babylon              kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan              kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali              sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan              tarikh lahir berpandukan bintang.
"Contohnya bintang              Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut              mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan              pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno              ketika kecil.
"Oleh itu, bagi              mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di              langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun              banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu              renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi              Muslim.
"Sesuai ke jika umat              Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang              lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara              lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan,"              katanya.
Justeru, beliau              menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan              bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh              memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan. ..              
Trello for freelancers
5 years ago

0 comments:
Post a Comment