Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, Khamis mencadangkan supaya penghidap penyakit berjangkit serius seperti AIDS dan selesema burung diasingkan atau dikuarantin di kawasan khas, umpamanya pulau.
Katanya sudah tiba masanya cadangan itu difikirkan secara serius oleh pelbagai pihak bagi memastikan kepentingan masyarakat umum terjaga dan memudahkan kawalan penyakit-penyakit berbahaya dan boleh berjangkit seperti itu.
"Ini sama seperti dulu, di mana penghidap penyakit tibi dan kusta kita kuarantinkan. Bagi penyakit berjangkit seperti Aids, selesema burung serta penyakit baru, mereka boleh ditempatkan di satu tempat supaya tidak merebak," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat negeri di Ipoh Khamis.
Harussani berkata beliau pernah mencadangkan supaya penghidap Aids diasingkan di satu pulau pada satu seminar perubatan beberapa tahun lepas tetapi tidak dipersetujui kerana dikatakan tidak berperikemanusiaan.
"Tetapi sekarang itulah satu jalan menyelesaikan masalah ini," katanya.
Ditanya sama ada cadangan beliau itu dibenarkan dalam Islam, Harussani berkata hadis nabi ada menyebut supaya orang menjauhkan diri daripada sebarang penyakit berjangkit.
"Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud `jauhkan diri kamu daripada orang penyakit kusta seperti kamu jauhkan diri daripada singa'. Pernah juga berlaku satu kejadian apabila taun menyerang Madinah, orang di Madinah tidak dibenarkan keluar dan orang di luar Madinah tidak dibenarkan masuk ke kota itu," katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan membawa cadangan itu ke peringkat atas, Harussani berkata ia perlu difikirkan pihak yang bertanggungjawab.
"Peringkat agama kita boleh bangkitkan perkara ini, sekarang saya cetuskan idea, bila saya cetuskan idea pihak yang berkenaan perlu fikirkan," katanya.
Menurut beliau, tiada gunanya jika mufti membuat persidangan dan bersetuju supaya dikuarantinkan tetapi pihak yang berkenaan tidak mahu menerima cadangan itu.
Semasa menyampaikan ceramah pada majlis itu yang turut dihadiri Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Harussani berkata pengeluaran fatwa demi fatwa termasuk mengenai penyalahgunaan dadah bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah.
"Kekuatan iman dalam diri setiap umat Islam terutama generasi muda adalah penyelesaian terbaik. Pengawalan dan tindakan terhadap pengedar dadah utama juga dapat membantu masalah itu dengan memastikan tiada bekalan dadah," katanya.
Beliau berkata mengeluarkan fatwa tidak menjadi masalah dan boleh dibuat oleh Persidangan Majlis Fatwa Kebangsan tetapi yang lebih penting ialah pengawalan dan penyeliaan.
"Hari ini kita tangkap orang yang menagih dadah tetapi yang mengedar dan bekal dadah itu penting. Ibu besar (pengedar besar) yang bekal bahan itu perlu kita cari, mungkin orang itu ada di kalangan kita, mungkin kita lihat orang itu sebagai yang cukup baik, yang banyak derma dan kebajikan kepada masyarakat, dia melindungi keadaannya dan sebenarnya dialah racun yang merosak, itu tidak mustahil," katanya.
Trello for freelancers
4 years ago
0 comments:
Post a Comment