`Usah percaya'
SEREMBAN: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menasihatkan
masyarakat tidak mempercayai apa yang tercatat pada SMS amaran
berhubung panggilan santau atau `tarik nyawa' yang tersebar luas di
negara ini sekarang.
Beliau berkata, walaupun perbuatan sihir boleh dilakukan dengan
pelbagai cara, panggilan maut seperti didakwa itu agak sukar
diterima akal.
Katanya, kepercayaan yang terlalu mendalam terhadap sihir
menyebabkan ada anggota masyarakat terutama beragama Islam berada
dalam ketakutan kerana bimbang terkena ilmu hitam itu.
"Ketakutan itu menyebabkan berlakunya tokok tambah sehingga
mengganggu emosi dan pekerjaan harian," katanya ketika dihubungi,
semalam.
Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berkata, penyebaran SMS itu perlu
dihentikan segera kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan usaha umat
Islam mencapai kemajuan setanding masyarakat dunia lain.
Beliau mengulas pengiriman SMS peringatan yang dikatakan disebarkan
pihak tertentu untuk mengingatkan orang ramai mengenai deringan
santau atau panggilan syaitan yang kononnya akan mencabut nyawa
penerima panggilan berkenaan.
Selain di negeri ini, SMS berkenaan dikatakan sedang berlegar di
seluruh negara, terutama di Kuala Lumpur dan Melaka sehingga
menyebabkan orang ramai mula risau dan tertanya-tanya sama ada
aktiviti santau menggunakan kaedah baru itu benar-benar wujud.
Menerusi SMS berantai itu, orang ramai diingatkan tidak mengangkat
telefon jika dihubungi satu nombor pelik yang kononnya boleh meragut
nyawa mereka yang menjawab panggilan itu.
SMS yang tersebar luas sejak seminggu lalu mendakwa panggilan
misteri itu mengandungi unsur sihir yang dikatakan sedang diuji
sekumpulan penuntut ilmu hitam di Indonesia.
Trello for freelancers
4 years ago
0 comments:
Post a Comment